Thursday, July 7, 2011

Jangan 'Perkudakan' Mahasiswa

Fenomena gelombang kuning saban hari semakin bergelora melanda seluruh negara. Bahkan kita telah melihat pelbagai respon dari masyarakat bermula dari golongan bawahan sehingga kepada golongan akademik dan intelektual. Hal ini telah menampakkan kepada kita bahawa Bersih 2.0 mampu mencetus satu perubahan yang diidamkan untuk pentadbiran negara. Pelbagai respon sama ada positif atau negatif telah menerjah minda masyarakat melalui pelbagai medium media.

Hari ini, jelas kita lihat bahawa gelombang Bersih 2.0 telah pun merebak ke dalam kampus. Bagi saya secara peribadi, ini merupakan satu perkara yang amat positif sebagai tanda bahawa mahasiswa Malaysia juga merupakan salah satu entity rakyat yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Namun begitu, apa yang amat mengecewakan saya apabila melihat ada pihak yang cuba mempolitikkan Bersih 2.0 sehingga sanggup memperguna dan memperbodohkankan mahasiswa dalam usaha menentang Bersih 2.0 dan secara tidak langsung berusaha untuk menutup ruang kepada golongan pro Bersih 2.0.

Dari sumber yang dipercayai, terdapat pihak yang telah ‘menyuap’ mulut mahasiswa dengan sejumlah duit supaya turun berdemontrasi sebagai tanda kebencian dan menolak Bersih 2.0. Saya telah difahamkan pihak Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar dari sebuah Institut Pangajian Tinggi Awam telah mengarahkan mahasiswa untuk berdemontrasi sebagai penyokong anti Bersih dan dibayar kepada sesiapa yang turun demontrasi tersebut. Pembayaran itu dilakukan bertujuan untuk menarik mahasiswa turun dan meramaikan demontrasi tersebut. Mereka tahu mahasiswa tidak mempunyai kewangan yang mencukupi dalam menampung kos pembelajaran dan mereka menggunakan duit tersebut untuk memancing mahasiswa supaya turun.

Saya berpendapat perkara ini tidak wajar berlaku kerana mahasiswa adalah golongan cendekiawan lebih-lebih lagi pentadbiran universiti dan mahasiswa tidak sepatutnya diperbodohkan sebegini rupa. Tindakan ini adalah amat tidak wajar kerana perbuatan ini ibarat memberi rasuah kepada mahasiswa dalam melakukan sesuatu aktivti dan ia juga bertentangan dengan nilai dan prinsip sebagai seorang mahasiswa itu sendiri. Bagi saya, mahasiswa sudah terdidik dan mamp berfikir baik atau buruk sesuatu perkara. Mahasiswa mampu untuk menilai sendiri berteraskan ilmu dan akal dalam menentukan sesuatu tindakan.

Secara peribadi, saya berpendapat perhimpunan ini adalah perhimpunan yang menghimpunkan rakyat dalam menyatakan pendirian rakyat terhadap pilihan raya yang telus dan adil di negara ini. Jadi, saya tidak melihat di mana salahnya sekiranya mahasiswa juga turut menyertai sebagai tanda cintakan Malaysia. Kita semua sedia maklum bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kepimpinan negara dipilih oleh rakyat dalam sesi pilihanraya yang diadakan setiap 4 tahun sekali.

Justeru, sekali lagi saya menyatakan bahawa perbuatan memperbodohkan mahasiswa adalah satu perbuatan yang sangat biadap dan melanggar hak asasi bagi seorang mahaiswa itu sendiri. Buat pengetahuan semua,mahasiswa adalah satu entiti dari masyarakat dan kebebasan juga harus diberikan kepada mana-mana pihak. Perhatian buat mana-mana pentadbiran univeriti yang ingin memperkudakan mahasiswa,jika perkara ini masih berlaku mahasiswa tidak teragak-agak untuk memastikan pentadbiran universiti juga “dibersihkan”.

Saya melihat isu ini tidak perlu diperbesarkan dan berilah ruang kepada pihak Bersih untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Saya juga berharap supaya mana-mana pihak berhenti daripada membuat sebarang provokasi sama ada dari pihak Bersih atau pihak berkuasa. Jika kerajaan berada di pihak yang benar,sila benarkan rakyat untuk berhimpun dan beri keizinan kepada rakyat untuk berkempen serta memberi penerangan kepada yang lain. Justeru,jika kedua-dua pihak saling bekerjasama kita akan melihat satu perubahan ke arah negara yang lebih aman dan harmoni.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP