Dendam TNC HEP
Semua orang tahu Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) adalah badan induk mahasiswa yang diiktiraf oleh mahasiswa dan universiti. Bahkan, MPMUM adalah badan sah; dipilih sendiri oleh mahasiswa dalam pemilihan perwakilan pelajar yang dijalankan secara rasmi setiap tahun.
Tetapi apa yang tidak diketahui umum ialah badan MPMUM telah pun menjadi asing di tempat sendiri. Malah, amat memalukan apabila mereka dihalang terlibat secara menyeluruh dalam Minggu Haluan Siswa Universiti Malaya yang sedang berlangsung bermula 4 hingga 9 September ini.
Alasan yang diberikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar ialah mereka telah melatih 300 orang Pembantu Mahasiswa bagi menjalankan tugas sepanjang minggu orientasi. Beliau juga mendakwa keterlibatan MPMUM dalam minggu orientasi adalah tidak perlu dan hanya membuat 'kacau'.
Terdapat beberapa persoalan yang menjadi tanda tanya berikutan tindakan TNC HEP ini. Apakah relevan MPMUM sebagai badan mahasiswa yang sah dinafikan hak untuk menjalankan perkhidmatan mereka dalam minggu orientasi?
Terdapat juga beberapa staf di fakulti dan Kolej Kediaman yang hairan dengan tindakan HEP yang menyifatkan tindakan mereka ini sebagai 'pelik' dan tidak masuk akal.
Juga yang menjadi tanda tanya, adakah arahan langsung dari TNC HEP supaya tidak membenarkan ahli MPMUM terlibat dalam minggu orientasi ini berbaur dendam?
Jika kita melihat kronologi perjalanan MPMUM yang dimenangi oleh Pro-Mahasiswa pada pemilihan Februari lalu, tanda tanya ini mungkin ada benarnya. Dendam TNC HEP terhadap kemenangan kumpulan Pro-Mahasiswa nampaknya belum berakhir bermula awal kemenangan sehingga akhir sesi kepimpinan.
Bermula awal kepimpinan lagi regim HEP memulakan agenda 'membalas dendam' terhadap kemenangan Pro-Mahasiswa. Bermula dengan melambat-lambatkan pengesahan kemenangan, penggantungan kemenangan ke atas 2 Calon Umum, kelewatan pembentukan kabinet dan pemberian watikah pelantikan sehingga mengambil tempoh 2 bulan setelah pemilihan.
Jika ia benar, pengiktirafan Universiti Malaya sebagai universiti terbaik di dalam negara dan di peringkat dunia layak saja dibakulsampahkan. Bahkan hal ini layak dilakukan kerana 'universiti terbaik' ini dalam masa yang sama juga gagal mengangkat nilai-nilai demokrasi, hak asasi manusia dan nilai-nilai sejagat yang seharusnya diberi pengiktirafan.