Showing posts with label Arena Sukan. Show all posts
Showing posts with label Arena Sukan. Show all posts

Monday, March 15, 2010

Kemenangan Edisi ke 100. Satu Kebanggaan?


Kemenangan Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan Badminton Seluruh England edisi ke-100 memberikan satu kenangan manis untuk beliau dan rakyat Malaysia. Semalam,seramai lebih kurang 70% rakyat Malaysia menyaksikan detik-detik manis dan saat kemenangan beliau di kaca televisyen yang dibawa secara langsung oleh RTM dari England. Beliau telah menumpaskan pemain remaja dari Jepun, Kenichi Tago dengan keputusan 21-19, 21-19 dalam masa 50 minit. Dengan kemenangan tersebut telah menutup dan memecahkan dominasi "Tembok China" yang selama ini gah dengan harta kemenangan tersebut. Kemenangan tersebut merupakan kejayaan paling berharga kerana ia muncul ketika beliau berada dalam ranking nombor satu dunia.


Sejarah tahun 2003, Muhammad Hafiz Hashim telah menjuarai kejohanan tersebut setelah menanti hampir 37 tahun dengan mengalahkan Chen Hong. Kejayaan tersebut telah membuka mata dan fikiran rakyat Malaysia pada ketika itu. Beliau telah diangkat dan disanjung oleh semua rakyat Malaysia. Namun selepas kemenangan tersebut tiada lagi kemenangan-kemenangan yang beliau sumbangkan untuk rakyat Malaysia. Prestasi Hafiz Hashim jatuh satu tahap ke satu tahap sehingga sekarang.

Pada tahun ini,2010 Datuk Lee Chong Wei mengulangi sekali lagi kejayaan yang beliau idam-idamkan. Walaupun tidak bertarung dengan Laksamana Tembok Besar tetapi kejayaan tersebut boleh dianggap satu kebanggaan untuk dirinya dan rakyat Malaysia. Pemimpin tertinggi Malaysia telah merakamkan jutaan syabas dan tahniah kepada beliau. Antaranya ialah DYMM Yang Dipertuan Agong atas kejayaan beliau.“Kemenangan ini amat besar maknanya kepada negara kita dalam menjayakan gagasan 1Malaysia,apa jua bidang sama ada reka cipta, inovasi, sukan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang disertai untuk mewakili negara hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi." titah Yang Dipertuan Agong dalam majlis perasmian pembukaan parlimen penggal ke-3. Ungkapan tahniah juga telah diucapkan oleh Menteri Sukan Dan Kebudayaan ketika ditemubual semasa berada di lobi parlimen. "Sasaran kita adalah untuk mendapat emas yang pertama di Sukan Olimpik 2012... jadi kemenangan itu memberikan harapan yang besar dan saya percaya kita mampu untuk melakukannya,” katanya..

Kata-kata pujian dan harapan telah dihamburkan kepada Lee Chong Wei bilamana harapan untuk menikmati pingat emas yang pertama dalam sukan olimpik telah disandarkan kepada Chong Wei. Dari dulu sampai sekarang harapan Malaysia adalah mahu bawa pulang pingat emas. Apabila seseorang ahli sukan itu berjaya mendapat kejayaan terbesar maka harapan untuk mengotakan impian tersebut terletak di bahu dia. Malaysia seolah-olah tiada generasi pelapis yang mampu untuk meneruskan kesinambungan kejayaan tersebut. Semuanya berharap kepada “Kuda Tua” yang semakin lama semakin tua. Dalam semua rakyat Malaysia berbangga dengan kemenangan tersebut dan masing-masing sedang mencongak harapan menggunung dalam sukan olimpik,perlu kita ingat bahawa kejayaan tersebut tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menentukan kejayaan. Selagi mana musuh utama tidak ditumpaskan di tangan sendiri,selagi itulah kejayaan tersebut tidak memberi sebarang makna. Jika kemenangan ini sudah dibangga-banggakan atau diagung-agungkan sudah pasti suatu hari nanti kita akan lihat satu persatu atlet kita terkulai layu lemah apabila berhadapan musuh. Kita rakyat Malaysia sudah bangga dengan satu-satu kejuaraan yang dicapai tetapi tidak memandang atau mengakui bahawa kita banyak kelemahan dalam melahirkan sang juara. Dalam kejohanan tersebut kita hanya menang satu acara sahaja daripada lima acara. Mana lagi empat acara?? Kita boleh berbangga andai kita menang semua acara tersebut tetapi kita baru menang satu acara sudah berbangga dn riuh ibarat ayam betina bertelur. Telur sebiji riuh sekampung.


Kesimpulannya, anggap setiap kemenangan tersebut adalah cabaran dari Pencipta supaya kita berusaha untuk mengekalkan kemenangan bukan untuk kita agung dan banggakan. ALLAH akan memberi kejayaan kepada umat-NYA sekiranya dia bersyukur, berusaha dan menyerah kepada ALLAH.

Sekalung Tahniah Buat Datuk Lee Chong Wei.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP